Thursday, 1 December 2011

Pengurusan Bilik Darjah Pendidikan Khas


Pengurusan bilik darjah boleh ditakrifkan sebagai kebolehan guru mengawal murid bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Menurut Doyle (1979), pengurusan bilik darjah adalah satu proses menyelesaikan masalah berhubung dengan peraturan dalam bilk darjah. Manakala McCaslin dan Good (1992) pula menyatakan pengurusan bilik darjah merangkumi lebih daripada kepatuhan peraturan-peraturan bilik darjah: ia adalah satu jentera bagi memupuk pemahaman kendiri, penilaian kendiri dan kawalan kendiri dalam diri murid-murid.

Pengurusan bilik darjah sangat penting kerana seperti kata MacAulay (1990), bilik darjah sebaiknya diatur agar ianya dapat menampung aktiviti-aktiviti yang pelbagai sepanjang hari bagi memenuhi matlamat arahan yang ingin disampaikan oleh guru. Susun atur ini seumpama pentas, guru dapat menguruskan keperluan akademik, sosial dan juga emosi pelajar.

Pengurusan bilik darjah juga didefinisikan sebagai tindakan dan strategi yang digunakan untuk mengekalkan peraturan bilik darjah. Pengurusan bilik darjah yang baik tidak berlaku tanpa sebarang perancangan. Pengajaran akan berlaku dengan lancar sekiranya bilik darjah mempunyai aktiviti pembelajaran yang tidak ada gangguan tingkah laku yang tidak menyenangkan.

Pengurusan bilik darjah yang menyeluruh melibatkan pengurusan fizikal, peralatan  dan sumber, pengurusan murid (pelanggan), pengurusan organisasi, pengurusan masa  dan pengurusan pengajaran dan pembelajaran serta penilaian.

Guru memainkan peranan penting sebagai pengurus bilik darjah yang berkesan. Guru bertanggungjawab mendapatkan kerjasama daripada murid-murid bagi memastikan mereka mematuhi peraturan bilik darjah yang telah ditetapkan. Selain itu, guru perlu menguruskan persekitaran bilik darjah yang kondusif agar dapat merangsang minat kepada murid-murid untuk belajar.

Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah sangat penting. Semua guru perlu mempunyai kemahiran pengurusan bilik darjah yang baik.

0 comments:

Post a Comment

 
;