Wednesday, 12 October 2011

PERGURUAN SEBAGAI SATU PROFESION (KESIMPULAN)

Kesimpulannya,
Sistem pendidikan di negara ini akan sentiasa bergerak maju ke hadapan. Perubahan-perubahan yang dilakukan dalam kurikulum pendidikan adalah untuk memenuhi kehendak negara merealisasikan sebuah negara maju pada masa hadapan. Setiap perubahan-perubahan dalam kurikulum pendidikan yang diperkenalkan menjadi satu bentuk cabaran dalam profesion keguruan. Oleh itu adalah mustahak bagi individu yang berkecimpung dalam bidang ini sentiasa berusaha mempertingkatkan kecekapan, kebolehan prestasi dari semasa ke semasa. Jika hal ini wujud, barulah tuntutan-tuntutan dalam perubahan kurikulum itu dapat ditangani.
Namun kini sejauh mana kita mengiktiraf dan memartabatkan perguruan sebagai satu profesion adalah bergantung kepada anggapan masyarakat, ini kerana masih ada lagi yang menganggap profesion perguruan sebagai kelas kedua.Adakah peranan guru semakin hilang taringnya kerana masyarakat telah mengalih pandangan kepada kerjaya yang diiktiraf sebagai professional oleh pihak kerajaan seperti doktor, peguam dan arkitek?
Dalam konteks ini pihak kerajaan perlu bersungguh-sungguh dalam menjadikan profesion perguruan sebagai profesion yang unggul dan disegani ramai. Menurut Dr. Muhamad Hasan Abdul Rahman iaitu Timbalan Dekan Pelajar dan Pembangunan, Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) beliau menegaskan dalam usaha untuk memartabatkan profesion perguruan selain daripada peranan pihak Kementerian Pendidikan, Persatuan Perguruan dan masyarakat, para guru sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang besar dalam meningkatkan aspek keprofesionalannya dengan melengkapkan diri dengan pelbagai jenis ilmu dan kemahiran yang tinggi. 
Secara peribadi,saya bangga menjadi lilin yang membakar diri demi menerangi orang lain.Melihat anak didik saya berjaya dalam usaha mereka adalah satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

0 comments:

Post a Comment

 
;