Wednesday, 12 October 2011

PERGURUAN SEBAGAI SATU PROFESION (SIRI 1)

Sesungguhnya para pendidik hari ini telah memainkan peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi negara dalam mewujudkan perpaduan kaum.Pendidik pada hari ini telah membuktikan bahawa mereka telah mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.
Guru adalah merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberkesanan para guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi. Pendidik dari kaca mata Islam merupakan murabbi,muallim, muaddib, alim atau ulamak. Mereka berfungsi bukan sahaja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga masyarakat serta tentang hubungan, komitmen dan hubungannya dengan Allah.Perpaduan kaum dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati antara satu sama lain tidak mengira bangsa dan agama.
Sejarah tidak pernah menipu manusia dan sejarah telah membuktikan betapa golongan pendidik memainkan peranan yang penting dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara.Masyarakat ketika itu menjadikan guru sebagai idola dan pakar rujuk dalam segala hal. Kalau dulu guru terpaksa berhadapan dengan pihak penjajah secara terang-terangan, kini, jajahannya diterjemahkan dalam bentuk yang lain pula iaitu lebih mencabar lagi kerana ia melibatkan jajahan pemikiran, budaya dan jati diri yang perlu dihadapi secara professional dan kreatif.
Kedudukan perguruan sebagai satu profesion di dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan turut juga dipenuhi dengan cabaran-cabaran. Para pendidik telah memperkatakan mengenai profesion perguruan dari masa ke semasa. Sebelum merdeka lagi sudah ada perbincangan mengenai perkara ini iaitu sebelum Universiti Malaya hendak ditubuhkan di Singapura (1949) terdapat satu symposium mengenai ‘Pendidikan Universiti dan Laporan Carr-Saunders’. Di dalam symposium tersebut perbincangan mengenai peranan universiti dan kedudukan profesion perguruan turut diadakan ( Lim Tay Boh 1948). Di antara perkara pokok yang dibangkitkan ialah keperluan guru-guru sekolah menengah untuk mendapat pendidikan tinggi supaya murid-murid yang bakal dididik nanti akan mempunyai mutu pendidikan yang baik. Pendidikan guru yang tinggi dan usaha melahirkan generasi muda yang baik merupakan cabaran yang kuat di dalam profesion perguruan bukan pada zaman dahulu sahaja tetapi juga masa kini.
Konsep Profesion dan nilaitaranya
Sesuatu profesion yang sebenar adalah sesuatu bidang yang mempunyai ciri-ciri seperti kepentingan kemahiran intelek, latihan iktisas yang mencukupi, khidmat yang diperlui masyarakat, menikmati otonomi individu dan kumpulan, mementingkan mutu perkhidmatan, mempunyai tatasusila perkhidmatan atau kod etika dan mempunyai organisasi tersendiri untuk menguruskan soal-soal yang berkaitan dengan pendidikan (Lieberman 1956).
Menurut Kamus Dewan ‘profesion’ ialah suatu bidang pekerjaan khasnya yang memerlukan pendidikan dan kecekapan serta kemahiran yang tinggi dan latihan yang khas.( contohnya : perundangan, perubatan, perguruan dan lain-lain.)
Berdasarkan ciri-ciri profesion, Mok Soon Sang ( 1996 ) merumuskan secara ringkas konsep profesionalisme sebagai :
Suatu pekerjaan yang khusus dan dijalankan oleh orang yang mempunyai kelulusan dan latihan iktisas yang cukup bermutu, bersikap jujur, dedikasi, bertanggungjawab dan bermoral tinggi, mempunyai outonomi bertugas serta mematuhi kod etika yang ditentukan oleh organisasinya.
Di negara kita perguruan ini lebih mirip kepada pekerjaan (vocation) daripada profesion ( Awang Had Salleh 1980 ).
Nilaitara-nilaitara sesuatu profesion merupakan peraturan yang ditetapkan oleh organisasi supaya setiap ahli profesional akan mematuhinya, demi mengawal kualiti dan nilaitara perkhidmatan tersebut .Nilaitara ini menjadi garis panduan dalam usaha memastikan tingkahlaku dipatuhi oleh setiap ahlinya.

BERSAMBUNG.......

0 comments:

Post a Comment

 
;